|
Jan 12, 2004 |
|
ISLAH YANG KUTINGGALKAN SEJAK 1991
Perjalanan pulang ke rumah mertuaku kali ini membawa kami bersinggah dan bertemu dengan rakan sekelas waktu sekolah rendah (baca: Sek. Ren. Al-Islah) dahulu, Jamilah Hj Yusof sekaligus dapat melihat tinggalan dan perubahan ke atas tempat di mana aku menimba ilmu, mencorak suka dan duka yang memang tak dapat dilupakan. Kenangan yang sugguh manis dan indah. Kenangan zaman persekolahan.
Taman Setiabudi, tetap seperti dahulu. Dengan perlahan kupandu kenderaan melalui jalan kecil bertar menuju ke sekolah. Kebun getah tempat kami mengutip dan beradu kekuatan biji getah sudah cerah dan didirikan rumah-rumah. Kedai Abang Din tempat pelajar-pelajar asrama bersinggah pekena laksa dan rojak sengkuang masih ada cuma diusahakan oleh orang lain, khabarnya adik ipar Abang Din juga. Yang ada cumalah sebuah bangunan kelas yang bersambung dengan pejabat yang kini dijadikan rumah sewa oleh KP Haji Yusof. Manakala deretan kelas yang satu lagi telah dijadikan garaj dan stor. Yang ada cumalah banglo KP Haji Yusof tersergam indah, pohon jambu yang menjadi teduhan kami manjamu laksa dan bihun sup kala waktu rehat persekolahan dulu dan juga alang kayu yang menjadi kerusi kantin dulu. Banyak pahala HJ Yusof dapat tuh dengan memberi tanahnya untuk dibina sekolah, tempat para guru mencurahkan ilmu, tempat dimana para pelajar diberi pendedahan tentang Islam, dunia dan kehidupan. Semoga ALLAH memberi ganjaran yang setimpal dengan pengorbanan HJ Yusof itu.
Terkenang kembali saat sama-sama menghafal AL-QURan di bawah pohonan jambu. Terima kasih ustaz-ustazah yang susah payah mendidik dan mengasuh kami. Jasa kalian hanya ALLAH yang dapat membalasnya. Aku akur bahawa kebanyakan hafalan QURAN yang masih aku ingati hingga ke hari ini adalah apa yang aku hafal sewaktu sekolah rendah dulu. Hafalan bawah pohonan jambu. Sungguh. Ianya lekat dalam memori ini, tidak seperti hafalan kala usia sudah menginjak seperti sekarang yang agak susah nak lekat.
Satu lagi tempat yang masih ada ialah Madrasah Lama (dr dulu lg dah jd masrasah lama), sekarang jadi Madrasah Tua la kot. Di situlah kami berjemaah setiap pagi selepas perhimpunan untuk menunaikan Solat Sunat Dhuha. Kalau dulu boleh lakukan setiap hari, kenapa sekarang tak boleh?
KAIFIAT SOLAT DHUHA
Solat ini dilakukan pada waktu Dhuha iaitu pada saat matahari naik lebih kurang sepenggalahan (istiwak). Paling banyak yang dikerjakan oleh Rasulullah ialah 8 rakaat dan paling banyak yang disabdakan oleh baginda ialah 12 rakaat. Paling sedikit yang boleh dikerjakan ialah 2 rakaat.
Tiada ditemui riwayat tentang surah-surah yang dibaca oleh Nabi SAW. dalam solat ini. Antara surah yang dianjurkan ulamak ialah Surah Al-Kafirun dan Al-Ikhlas atau As-Syams dan Ad-Dhuha.
Sebelum ke rumah Jamilah Hj Yusof, sempat bersolat di Masjid Barakah. Masya Allah.Subhanallah, tersergam indah dengan dilengkapi 10 biji air-cond. Rasanya ini masjid ber air-cond yang pertama pernah aku jumpa di negeri Kedah ini. Dari perbualanku dengan seorang abang disitu, khabarnya tiap-tiap malam diadakan kuliah dengan tenaga pengajar dari serata Kedah da Pulau Pinang. Tunggu orang nak mai dengar ceramah jer, tok guru dah ada, cuma dok tunggu anak buah jer untuk dengar ceramah dan kuliah, kata abang tu. Tapi Alhamdulillah, rmenurut abang tu lagi, amai jugaklah jemaah yang mengimarahkan masjid tersebut. Taklah gah dengan air-cond nyer saja.
Yela. Malaysia kita ni kan kaya dengan khazanah masjid-masjid yang indah, gah dan permai. Tercanggih di dunia la. Terbesar di Asia la. Di Perlis saja pun khabarnya ada lebih 100 buah masjid. 100 buah masjid!! Tu dalam Perlis, negeri terkecil di Malaysia! Apa yang aku dok bebelkan pasal masjid nie? Hmmm. Kesimpulannya JOMLA KITA KE MASJID (tuju kat diri sendiri ni). |
|
|
|
|